Wednesday, September 19, 2012

Misi Chong Wei tebus kecewa di Terbuka Jepun


SELEPAS Olimpik London, pemain nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei turun buat kali pertama di kejohanan terbuka Jepun dengan misi merampas semula kejuaraan dimenangi pada 2010 selepas dikecewakan Chen Long dari China, tahun lalu.
Bagaimanapun juara bertahan itu serta musuh ketat Lin Dan tidak hadir ke Jepun kerana masalah politik antara dua kuasa besar dunia itu.

Pada pusingan pertama semalam, Chong Wei tiada masalah menundukkan pemain India, Anand Pawar 21-13, 21-9 dan akan berdepan pemain muda Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua hari ini.
Bagaimanapun kejutan terbesar dilakar Chong Wei Feng apabila mencatat kemenangan pertama ke atas pilihan kelima dari Jepun, Kenichi Tago 8-21, 21-16, 21-17 untuk menjadikan rekod pertemuan kedua-dua pemain, 1-1.

Turut mara ke pusingan kedua, Liew Daren yang dipaksa berhempas pulas menewaskan pemain India, Sai Praneeth 17-21, 21-15, 22-20 untuk berdepan pilihan kelapan, Nguyen Tien Minh hari ini.

Dua perseorangan wanita negara, Lydia Cheah dan Tee Jing Yi turut ke pusingan kedua tapi bakal berdepan tugas getir hari ini.
Jing Yi berdepan jaguh muda Thailand, Ratchanok Intanon manakala Lydia berdepan pilihan kelapan dari Jepun, Ai Goto dalam usaha meloloskan diri ke suku akhir, manakala Sanatasah Saniru tidak mampu melakar kejutan ke atas pilihan utama dari Denmark, Tine Baun apabila tunduk 11-21, 10-21.

Pemain lain yang turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu lelaki Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, beregu wanita Ng Hui Lin-Hui Ern serta Wee Kiong-Hui Lin dalam beregu campuran.
Pilihan utama beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pilihan kedua beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mendapat bye semalam, hanya akan beraksi di pusingan kedua hari ini, masing-masing berdepan Noriyasu Hirata-Miyuki Maeda (Jepun) dan Patiphat Chalardchaleam-Nipitphon Puangpuapech (Thailand).

No comments:

Post a Comment