Wednesday, September 26, 2012

Segmen: Jom Tingkatkan Followers Sampai Lebam

Klik gambar atas untuk ketahui lebih lanjut...:)


Followers saya sekarang : 2 orang

Thursday, September 20, 2012

‘Temu duga’ untuk perkosa


Diburu...Suspek
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai perogol bersiri kini diburu polis selepas dua wanita membuat laporan mendakwa mereka dirogol dan disamun penjenayah terbabit yang menggunakan taktik menawar pekerjaan dengan gaji lumayan sehingga RM400 sehari sebelum merogol mangsa.
Lelaki terbabit dipercayai menggunakan modus operandi mengiklankan tawaran pekerjaan sebagai jurujual melalui beberapa laman web di Internet sebelum memujuk dan memperdaya mangsanya supaya hadir menjalani ‘temu duga’ di bilik hotel bajet di ibu negara.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, teruja dengan tawaran gaji lumayan, mangsa yang berhubung melalui e-mel dengan suspek hadir di sesi temu duga sebelum diperkosa dan barang berharga disamun.

Menurutnya, pihaknya menerima dua laporan setakat ini dan percaya kedua-dua kejadian jenayah itu dilakukan suspek sama kerana taktik digunakan sama.

“Kes pertama dilaporkan pada awal Ramadan lalu, dengan seorang wanita berusia awal 20-an mendakwa dirogol dan disamun seorang lelaki ketika menghadiri temu duga kerja di sebuah hotel bajet di ibu negara.

Wednesday, September 19, 2012

Gol keramat Ronaldo


MADRID: Cristiano Ronaldo mungkin beraksi hambar sejak akhir-akhir ini tapi berada di puncak prestasi ketika Real Madrid amat memerlukan khidmatnya apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu kelabnya mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Manchester City di tempat sendiri pada saingan Kumpulan D Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Skuad kendalian Jose Mourinho berdepan krisis selepas bergelut pada awal musim La Liga dan jurulatih warga Portugal itu sudah memberi amaran kepada anak buahnya untuk beraksi lebih baik pada perlawanan pertama saingan berprestij itu.

Episod sedih Ronaldo dua minggu lalu yang enggan meraikan jaringannya dilihat sudah berakhir dan sentuhan Mourinho jelas memberi kesan apabila Real kembali bangkit untuk mengecewakan City.
Juara Liga Perdana Inggeris itu hampir mengejutkan juara Eropah sembilan kali di Bernabeu apabila berada di depan sebanyak dua kali pada babak kedua menerusi pemain gantian, Edin Dzeko dan Aleksandar Kolarov.

Real bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi Marcelo dan kemudian meraih gol kedua pada minit ke-87 apabila pemain gantian, Karim Benzema meledak gol ke gawang lawan dua minit selepas jaringan Kolarov.

Namun Ronaldo lebih mencuri tumpuan apabila rembatannya dari sebelah kiri berjaya menewaskan penjaga gol City, Joe Hart.
Penyokong Real meraikan jaringan itu, seolah-olah meraikan kejayaan pasukan mereka memenangi gelaran Eropah buat kali ke-10, sementara Mourinho dilihat meraikan jaringan itu dengan begitu bergaya.

“Saya meraikan jaringan ini kerana mahu meraikannya,” kata Ronaldo yang sudah menjaringkan 151 gol dalam 151 penampilan bersama Real. “Perlawanan ini amat penting dan kami berjaya bangkit semula. Sementara itu, Hart menganggap City tidak sepatutnya tewas selepas mendahului 2-1.
“Kami perlu menyalahkan diri sendiri. Mereka pasukan yang bagus. Sukar bagi kami untuk meninggalkan padang dengan kekalahan 2-3 ini,” katanya. - Reuters

Misi Chong Wei tebus kecewa di Terbuka Jepun


SELEPAS Olimpik London, pemain nombor dua dunia Datuk Lee Chong Wei turun buat kali pertama di kejohanan terbuka Jepun dengan misi merampas semula kejuaraan dimenangi pada 2010 selepas dikecewakan Chen Long dari China, tahun lalu.
Bagaimanapun juara bertahan itu serta musuh ketat Lin Dan tidak hadir ke Jepun kerana masalah politik antara dua kuasa besar dunia itu.

Pada pusingan pertama semalam, Chong Wei tiada masalah menundukkan pemain India, Anand Pawar 21-13, 21-9 dan akan berdepan pemain muda Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua hari ini.
Bagaimanapun kejutan terbesar dilakar Chong Wei Feng apabila mencatat kemenangan pertama ke atas pilihan kelima dari Jepun, Kenichi Tago 8-21, 21-16, 21-17 untuk menjadikan rekod pertemuan kedua-dua pemain, 1-1.

Turut mara ke pusingan kedua, Liew Daren yang dipaksa berhempas pulas menewaskan pemain India, Sai Praneeth 17-21, 21-15, 22-20 untuk berdepan pilihan kelapan, Nguyen Tien Minh hari ini.

Dua perseorangan wanita negara, Lydia Cheah dan Tee Jing Yi turut ke pusingan kedua tapi bakal berdepan tugas getir hari ini.
Jing Yi berdepan jaguh muda Thailand, Ratchanok Intanon manakala Lydia berdepan pilihan kelapan dari Jepun, Ai Goto dalam usaha meloloskan diri ke suku akhir, manakala Sanatasah Saniru tidak mampu melakar kejutan ke atas pilihan utama dari Denmark, Tine Baun apabila tunduk 11-21, 10-21.

Pemain lain yang turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu lelaki Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, beregu wanita Ng Hui Lin-Hui Ern serta Wee Kiong-Hui Lin dalam beregu campuran.
Pilihan utama beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pilihan kedua beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mendapat bye semalam, hanya akan beraksi di pusingan kedua hari ini, masing-masing berdepan Noriyasu Hirata-Miyuki Maeda (Jepun) dan Patiphat Chalardchaleam-Nipitphon Puangpuapech (Thailand).

Milan hambar lagi

MILAN: AC Milan mempamerkan satu lagi persembahan hambar di San Siro awal pagi semalam apabila seri 0-0 dengan Anderlecht dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara sekali gus menyaksikan mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam tempoh empat setengah jam di gelanggang sendiri musim ini. Penyokong Milan yang melihat pemergian Zlatan Ibrahimovic, Antonio Cassano dan Thiago Silva ke kelab lain musim panas ini bagai melancarkan mogok apabila kurang daripada 28,000 hadir menyebabkan stadium hampir kosong dua pertiga. Bagi yang hadir, mereka mengejek tuan rumah sebaik wisel penamat ditiup ketika Milan gagal bertindak cemerlang berikutan dua kekalahan 0-1 dalam kempen Serie A di gelanggang sendiri di tangan Sampdoria dan Atalanta. Sebaliknya, ada tepukan gemuruh pada babak pertama ketika skrin di stadium mempamerkan Ibrahimovic menyempurnakan sepakan penalti bagi membantu Paris St Germain membelasah Dynamo Kiev, 4-1 dalam aksi Kumpulan A. Anderlecht yang kembali beraksi pada peringkat kumpulan selepas enam tahun menguasai permainan bagi tempoh yang lama dan lebih banyak menguasai bola sekalipun tuan rumah berjaya mencipta beberapa peluang. “Pasukan ini akan bertindak lebih baik selepas ini,” kata jurulatih Milan, Massimiliano Allegri. “Kami mencipta empat peluang keemasan untuk menjaringkan gol.” Allegri memulakan perlawanan dengan menggandingkan Giampaolo Pazzini yang gagal mencetak gol buat Inter Milan musim lalu dengan Urby Emanuelson di bahagian serangan. Penjaga gol Anderlecht, Silvio Proto mengecewakan tuan rumah dengan beberapa aksi mengagumkan namun ia tidak akan diterima sebagai alasan oleh media dan penyokong. - Reuters

Ragbi Jonah Jones pilih skuad wanita negara

KESATUAN Ragbi Malaysia (MRU) memilih kejohanan ragbi tujuh sebelah tertua di Asia, Kejohanan Ragbi Jonah Jones 7 Sebelah 2012 sebagai medan kelayakan untuk pemilihan pemain skuad kebangsaan, minggu ini. Skuad wanita negara yang dalam peringkat pembangunan kini mencari muka baru berpotensi untuk menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. “MRU memilih kejohanan ini memandangkan ia medan terbaik membentuk bakat baru tempatan. Apatah lagi kita akan bertarung di kejohanan ragbi tujuh sebelah di India, Oktober ini. “Mutu ragbi wanita di peringkat negeri dan kelab kini meningkat menjadikan ia masa terbaik membangunkan lagi skuad kebangsaan,” kata pengurus pasukan, Raimi Yusof selepas sidang media sempena undian pasukan kejohanan pada 22 hingga 23 September ini. Kejohanan yang berlangsung di padang Anjung Sukan Bukit Kiara, Kelab Diraja Selangor (RSC) itu membabitkan 48 pasukan dengan penyertaan Hong Kong serta Singapura. “Saingan tahun ini dijangka sengit hingga sukar untuk saya menamakan pasukan pilihan tahun ini. Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan Dragon yang menjuarai Hatyai Sevens baru-baru ini mampu melaungkan cabaran namun tidak memandang sinis cabaran Cobra yang sememangnya terkenal gah. Selain itu, Asas Rugby Club turut tidak kurang hebat,” kata Pengarah Kejohanan, Richard Dutton. Katanya lagi, edisi tahun ini juga buat julung kali menyaksikan penyertaan pasukan dibarisi sepenuhnya pemain Malaysia, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam kategori Liga Super iaitu bagi pemain profesional dan separuh profesional.

Optimus unggul

PASUKAN Optimus Prime dari Johor Bahru dinobat juara Grand Final Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2012 bagi kategori Bawah 16 Tahun selepas menundukkan pasukan GB FC A sempena sambutan Hari Malaysia, , Ahad lalu. Optimus Prime menewaskan GB FC A, 2-0 melakar kemenangan penuh bergaya pada aksi kemuncak di SportsPlanet Ampang. Jurulatih pasukan, Shaharizad Maharof, 26, yakin anak buahnya mampu muncul juara berdasarkan rekod pertemuan yang memihak kepada mereka ketika melakar kemenangan ke atas GB FC A pada peringkat kumpulan. “Saya percaya kepada kemampuan pemain. Kejayaan ini amat bermakna selepas empat tahun bersama. Saya akan mengekalkan pasukan ini menjadi satu pasukan lebih mantap dan pasukan Bawah 17 Tahun nombor satu di Malaysia. “Terima kasih kepada semua pihak terutama kepada Tadika Myzara, Parlimen JB, Ranymarlia Mohd dan Rozlin Mohd yang sentiasa memberi sokongan dan menaruh kepercayaan kepada kami menempah nama dalam arena futsal ini,” katanya. Bagi kategori B-16, tempat ketiga milik bersama Penang Free School dan Perantau FC B. Sementara itu, final kategori Bawah 12 Tahun menyaksikan pasukan Tu-Excellent A dari Kedah mempamerkan kehebatan menewaskan Abyad De Dani A FC dari Puchong Selangor, 3-0 manakala tempat ketiga milik bersama MSSPS A dan Qaisara B. Sejumlah 1,400 pasukan membabitkan pasukan B-12 dan 16 menyertai edisi ketujuh tahun ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan peringkat akar umbi. Pada aksi Grand Final, 32 pasukan terbaik setiap kategori dari 14 negeri bertarung merebut hadiah utama wang tunai RM15,000, trofi, pingat dan hamper barangan Milo dan Figos. Naib juara meraih RM10,000 dan tempat ketiga masing-masing mengondol RM7,000. Bagi menggalakkan setiap peserta menabung dan melakukan simpanan, Milo mengaturkan hadiah wang tunai itu disimpan di dalam akaun simpanan peserta. Hadiah disampaikan legenda bola sepak negara era 70-80an, Datuk Soh Chin Aun dan Pengarah Eksekutif Milo, Don Howat. Turut hadir Pengurus Pemasaran Sukan Nestle, Ng Ping Loong dan Pengarah Urusan Figos, Tang Kok Wei.

Peluang Terakhir


Koo Kien Keat-Tan Boon Heong “PI Mai Pi Mai Tang Tu” ungkapan terbaik boleh dicoret mengenai pendirian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai kedudukan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Majlis Exco bermesyuarat semalam memutuskan untuk memberi peluang setahun lagi kepada mereka. “Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) menjelaskan gandingan itu memohon agar diberi peluang terakhir. “Kami putuskan untuk memberi mereka peluang hingga Kejohanan Dunia tahun depan dengan sasaran layak ke final. “Jika gagal mereka akan dipecahkan,” kata presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh. Soalnya mengapa sasaran ke final dan bukan menjuarainya kerana mereka pernah beraksi di final 2010. Begitupun gandingan terbabit hanya akan beraksi pada kejohanan berstatus Siri Super sementara mereka akan digandingkan dengan pemain lain dalam kejohanan kelas kedua iaitu GP Emas. “C&T akan tetapkan gandingan lain bagi Kien Keat-Boon Heong,” kata Nadzmi lagi. Beliau turut mengumumkan rancangan melantik seorang Pengurus Projek yang memantau projek khas Olimpik 2016, 2020 dan 2024. “Beliau akan menerima laporan daripada ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek dan ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her dengan sasaran utama Sukan Olimpik Rio,” katanya. Namun begitu C&T boleh membatalkan cadangan atau perancangan Pengurus Projek itu pada bila-bila masa termasuk memecatnya. Sementara itu, Wong Tat Meng dilantik semula sebagai jurulatih perseorangan wanita negara. Isu lain yang turut diketengahkan adalah tindakan BAM mengekalkan gandingan adik beradik, Ng Hui Lin-Hui Ern sedangkan mereka kini bergelar pelajar sepenuh masa. Mereka masih menikmati pelbagai kelebihan sedangkan pemain profesional lain dibiar menyara diri sendiri. Naib Presiden, Senator V Subramaniam yang juga Presiden Persatuan Badminton Selangor (SBA) mengaku tindakan itu sebagai satu kesilapan dan perlu dihentikan segera.

Membentuk Keluarga Bahagia


Keluarga bahagia merupakan asas kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara. Oleh itu, peranan ibu bapa penting dalam menyemai benih-benih kebahagiaan dalam keluarga. Konsep Rumahku Syurgaku diaur-aurkan oleh masyarakat sejak zaman leluhur lagi. Suka dan duka wajar ditanggung bersama-sama sesama ahli keluarga dengan fikiran yang tenang dan berhati nurani yang menjauhi segala kepincangan dan kemelut k jiwa. Oleh itu, ibu bapa dapat mengejar periuk nasi tanpa sebarang kebimbangan dan gusar akan hal-hal rumah tangga. 

Pembentukan keluarga bahagia menjadi tonggak masyarakat penyayang yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri kita. Selain itu, seandainya sesebuah keluarga itu bahagia, sudah tentu anak-anak rnempunyai nilai moral yang baik. Pembentukan modal insan yang berwawasan dan mempunyai harga diri yang tinggi merupakan citra masyarakat madani, sementelahan kelangsungan tamadun bangsa yang berkiblatkan jati diri dan berkualiti. Remaja merupakan pewaris bangsa yang menerajui dan menongkah cabaran zaman dengan nilai kepimpinan yang utuh. Merealisasikan impian Wawasan 2020 hanya dapat digapai dan bukan sekadar indah khabar daripada rupa seandainya rata-rata masyarakat memperkasakan peradaban bangsa dan menongkah arus globalisasi mutakhir yang semakin kompleks dan mencabar.Justeru, memberikan motivasi kepada anak mereka sekiranya anak mereka dibelenggu dalam gangguan emosi dan trauma dalam tekanan hidup. 

Memang tidak dapat disangkal bahawa keluarga merupakan unit asas kepada pembentukan masyarakat sakinah, sementelahan membangunkan generasi yang berketrampilan, bersahsiah mulia, dan berilmu. Keluarga yang bahagia penting untuk menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi nusa dan bangsa. Dalam konteks ini, kebobrokan nilai murni dalam kalangan remaja dapat dibanteraskan dan menjauhkan anasir-anasir negatif yang dapat merudumkan dan merencatkan agenda pembangunan negara.Jangan sekali-kali sudah terhantuk baru tengadah gara-gara keabaian ibu bapa hanya sekadar mementingkan prestasi akademik anak mereka. 

Di samping itu, sikap hormat-menghormati juga mesti diwujudkan dalam sebuah keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia. Sebagai ketua untuk sebuah keluarga, biasanya semua keputusan dibuat oleh ibu bapa. Penerimaan terhadap keputusan yang dibuat oleh kanak-kanak merupakan satu cara untuk menghormati ibubapa sebagai ketua rumah. Manakala, kebebasan yang diberi kepada kanak-kanak untuk membuat keputusan sendiri juga merupakan satu cara untuk menghormati kanak-kanak. Sehubungan itu, sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia dapat dilahirkan. Kewujudan kefahaman dalam sebuah keluarga di antara anak-anak dengan ibu bapa juga merupakan satu cara hormat-menghomati dalam keluarga. 

Seterusnya, pegangan agama turut memainkan peranan penting untuk mewujudkan keluarga yang harmoni. Agama membentuk senjata ampuh bagi kita menghadapi segala masalah hidup. Keimanan benteng rohani seseorang. Keimanan melindungi kita daripada kemungkuran Tuhan. Kita dapat membezakan yang baik daripada yang buruk, Kita juga boleh mengawal nafsu liar. Agama menjadikan kita manisia yang penyayang. Dengan ini, keluarga yang harmoni dapat diwujudkan. Akhir,semua keluarga harus muncul sebagai keluarga yang bermakna. Kita haruslah berazam untuk melahirkan institusi keluarga yang kukuh, harmoni dan sejahtera. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk membina keluarga yang bahagia