Wednesday, September 19, 2012

Milan hambar lagi

MILAN: AC Milan mempamerkan satu lagi persembahan hambar di San Siro awal pagi semalam apabila seri 0-0 dengan Anderlecht dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara sekali gus menyaksikan mereka gagal menjaringkan sebarang gol dalam tempoh empat setengah jam di gelanggang sendiri musim ini. Penyokong Milan yang melihat pemergian Zlatan Ibrahimovic, Antonio Cassano dan Thiago Silva ke kelab lain musim panas ini bagai melancarkan mogok apabila kurang daripada 28,000 hadir menyebabkan stadium hampir kosong dua pertiga. Bagi yang hadir, mereka mengejek tuan rumah sebaik wisel penamat ditiup ketika Milan gagal bertindak cemerlang berikutan dua kekalahan 0-1 dalam kempen Serie A di gelanggang sendiri di tangan Sampdoria dan Atalanta. Sebaliknya, ada tepukan gemuruh pada babak pertama ketika skrin di stadium mempamerkan Ibrahimovic menyempurnakan sepakan penalti bagi membantu Paris St Germain membelasah Dynamo Kiev, 4-1 dalam aksi Kumpulan A. Anderlecht yang kembali beraksi pada peringkat kumpulan selepas enam tahun menguasai permainan bagi tempoh yang lama dan lebih banyak menguasai bola sekalipun tuan rumah berjaya mencipta beberapa peluang. “Pasukan ini akan bertindak lebih baik selepas ini,” kata jurulatih Milan, Massimiliano Allegri. “Kami mencipta empat peluang keemasan untuk menjaringkan gol.” Allegri memulakan perlawanan dengan menggandingkan Giampaolo Pazzini yang gagal mencetak gol buat Inter Milan musim lalu dengan Urby Emanuelson di bahagian serangan. Penjaga gol Anderlecht, Silvio Proto mengecewakan tuan rumah dengan beberapa aksi mengagumkan namun ia tidak akan diterima sebagai alasan oleh media dan penyokong. - Reuters

Ragbi Jonah Jones pilih skuad wanita negara

KESATUAN Ragbi Malaysia (MRU) memilih kejohanan ragbi tujuh sebelah tertua di Asia, Kejohanan Ragbi Jonah Jones 7 Sebelah 2012 sebagai medan kelayakan untuk pemilihan pemain skuad kebangsaan, minggu ini. Skuad wanita negara yang dalam peringkat pembangunan kini mencari muka baru berpotensi untuk menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. “MRU memilih kejohanan ini memandangkan ia medan terbaik membentuk bakat baru tempatan. Apatah lagi kita akan bertarung di kejohanan ragbi tujuh sebelah di India, Oktober ini. “Mutu ragbi wanita di peringkat negeri dan kelab kini meningkat menjadikan ia masa terbaik membangunkan lagi skuad kebangsaan,” kata pengurus pasukan, Raimi Yusof selepas sidang media sempena undian pasukan kejohanan pada 22 hingga 23 September ini. Kejohanan yang berlangsung di padang Anjung Sukan Bukit Kiara, Kelab Diraja Selangor (RSC) itu membabitkan 48 pasukan dengan penyertaan Hong Kong serta Singapura. “Saingan tahun ini dijangka sengit hingga sukar untuk saya menamakan pasukan pilihan tahun ini. Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan Dragon yang menjuarai Hatyai Sevens baru-baru ini mampu melaungkan cabaran namun tidak memandang sinis cabaran Cobra yang sememangnya terkenal gah. Selain itu, Asas Rugby Club turut tidak kurang hebat,” kata Pengarah Kejohanan, Richard Dutton. Katanya lagi, edisi tahun ini juga buat julung kali menyaksikan penyertaan pasukan dibarisi sepenuhnya pemain Malaysia, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam kategori Liga Super iaitu bagi pemain profesional dan separuh profesional.

Optimus unggul

PASUKAN Optimus Prime dari Johor Bahru dinobat juara Grand Final Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2012 bagi kategori Bawah 16 Tahun selepas menundukkan pasukan GB FC A sempena sambutan Hari Malaysia, , Ahad lalu. Optimus Prime menewaskan GB FC A, 2-0 melakar kemenangan penuh bergaya pada aksi kemuncak di SportsPlanet Ampang. Jurulatih pasukan, Shaharizad Maharof, 26, yakin anak buahnya mampu muncul juara berdasarkan rekod pertemuan yang memihak kepada mereka ketika melakar kemenangan ke atas GB FC A pada peringkat kumpulan. “Saya percaya kepada kemampuan pemain. Kejayaan ini amat bermakna selepas empat tahun bersama. Saya akan mengekalkan pasukan ini menjadi satu pasukan lebih mantap dan pasukan Bawah 17 Tahun nombor satu di Malaysia. “Terima kasih kepada semua pihak terutama kepada Tadika Myzara, Parlimen JB, Ranymarlia Mohd dan Rozlin Mohd yang sentiasa memberi sokongan dan menaruh kepercayaan kepada kami menempah nama dalam arena futsal ini,” katanya. Bagi kategori B-16, tempat ketiga milik bersama Penang Free School dan Perantau FC B. Sementara itu, final kategori Bawah 12 Tahun menyaksikan pasukan Tu-Excellent A dari Kedah mempamerkan kehebatan menewaskan Abyad De Dani A FC dari Puchong Selangor, 3-0 manakala tempat ketiga milik bersama MSSPS A dan Qaisara B. Sejumlah 1,400 pasukan membabitkan pasukan B-12 dan 16 menyertai edisi ketujuh tahun ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan peringkat akar umbi. Pada aksi Grand Final, 32 pasukan terbaik setiap kategori dari 14 negeri bertarung merebut hadiah utama wang tunai RM15,000, trofi, pingat dan hamper barangan Milo dan Figos. Naib juara meraih RM10,000 dan tempat ketiga masing-masing mengondol RM7,000. Bagi menggalakkan setiap peserta menabung dan melakukan simpanan, Milo mengaturkan hadiah wang tunai itu disimpan di dalam akaun simpanan peserta. Hadiah disampaikan legenda bola sepak negara era 70-80an, Datuk Soh Chin Aun dan Pengarah Eksekutif Milo, Don Howat. Turut hadir Pengurus Pemasaran Sukan Nestle, Ng Ping Loong dan Pengarah Urusan Figos, Tang Kok Wei.

Peluang Terakhir


Koo Kien Keat-Tan Boon Heong “PI Mai Pi Mai Tang Tu” ungkapan terbaik boleh dicoret mengenai pendirian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai kedudukan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Majlis Exco bermesyuarat semalam memutuskan untuk memberi peluang setahun lagi kepada mereka. “Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) menjelaskan gandingan itu memohon agar diberi peluang terakhir. “Kami putuskan untuk memberi mereka peluang hingga Kejohanan Dunia tahun depan dengan sasaran layak ke final. “Jika gagal mereka akan dipecahkan,” kata presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh. Soalnya mengapa sasaran ke final dan bukan menjuarainya kerana mereka pernah beraksi di final 2010. Begitupun gandingan terbabit hanya akan beraksi pada kejohanan berstatus Siri Super sementara mereka akan digandingkan dengan pemain lain dalam kejohanan kelas kedua iaitu GP Emas. “C&T akan tetapkan gandingan lain bagi Kien Keat-Boon Heong,” kata Nadzmi lagi. Beliau turut mengumumkan rancangan melantik seorang Pengurus Projek yang memantau projek khas Olimpik 2016, 2020 dan 2024. “Beliau akan menerima laporan daripada ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek dan ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her dengan sasaran utama Sukan Olimpik Rio,” katanya. Namun begitu C&T boleh membatalkan cadangan atau perancangan Pengurus Projek itu pada bila-bila masa termasuk memecatnya. Sementara itu, Wong Tat Meng dilantik semula sebagai jurulatih perseorangan wanita negara. Isu lain yang turut diketengahkan adalah tindakan BAM mengekalkan gandingan adik beradik, Ng Hui Lin-Hui Ern sedangkan mereka kini bergelar pelajar sepenuh masa. Mereka masih menikmati pelbagai kelebihan sedangkan pemain profesional lain dibiar menyara diri sendiri. Naib Presiden, Senator V Subramaniam yang juga Presiden Persatuan Badminton Selangor (SBA) mengaku tindakan itu sebagai satu kesilapan dan perlu dihentikan segera.